Wednesday, September 17, 2008

Bayu bertiup....

BAYU BERTIUP
Bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa…bulan yang hilang dilindungi awan kelam kembali megah menyinari bumi yang gelap. Burung Punguk yang tadinya bermuram durja kini bernyanyi riang sambil disinari cahaya bulan. “Oi! Cepat bah, lambat betul kau ni”. Aku menjerit memecah kesunyian malam. “Oi! Aku tunggu setengah saat lagi. Kalau lambat kau jalan la sendiri”. Panas hatiku melihat adikku yang baru mencapai kasutnya dari rak kasut. “Yala..yala.., sekejap bah orang baru mau pakai kasut ni”. Jawabnya. “Suka hati kau la! aku jalan dulu”. Bergegas aku melangkah meninggalkan adik yang masih terkial-kial mengikat tali kasutnya. Hubungan aku dengan adik sememangnya renggang sejak dari sekolah rendah lagi. Semua ni bermula bila adik mendapat keputusan cemerlang dalam penilaian tahap satu yang memberinya kelebihan dan mendapat peluang untuk berada sekelas dengan aku. Sejak itu, secebis demi secebis kegembiraan aku sekelas dengannya bagaikan dicarik-carik oleh kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh adik. Tempat pertama yang selama ini menjadi milikku kini dirampas dan berganti takhta kepada adik. Kepintaran adik dan kepetahannya mencuri perhatian guru-guruku. Bibit-bibit kebencian terhadap adik mula bercambah dan api cemburuku mula membakar dan terus menjadi pelesit dalam diriku.
***************
“Bang Rino! Abang Rino! Tunggu bah..” sayup-sayup kedengaran suara adik memanggil nama ku dari arah belakang. Aku terus mempercepatkan langkah tanpa mempedulikan adik yang jauh tertinggal di belakang. Namun, kedengaran derap langkah yang semakin laju mengejar di belakang menghampiri aku. “Bang Rino, berehat bah sekejap. Aku penat ni”. Kata adik ku termengah-mengah sambil memegang bahu ku. “Oi! Kau tahu ka latihan mula pukul berapa? Lambat sudah aku ni gara-gara kau. Slow macam kura-kura ja” herdik aku sekuat hati. “Maaf la..aku kan baru balik dari surau, memang la lambat” adik cuba meminta belas kasihan. “Ah! Peduli la kau sana…yang aku tahu, aku masuk cepat sampai” jawab ku endah tak endah lalu meneruskan langkah ku. Adik hanya mampu menarik muka masam mengikut ku dari belakang.
***************
“Buat barisan sekarang! Cepat bergerak semua!” kataku setelah melihat kelibat guru silatku dari kejauhan. Semua pelajar silat patuh pada arahan tanpa mempersoalkannya. Dalam persatuan silat ini, aku diberi mandat sebagai ketua yang mengurus hal-hal berkaitan dengan pelajar. Memang bersesuaian dengan pengalamanku sebagai pelajar silat senior dalam persatuan ini. “Assalammualaikum Tok!” kataku sambil diikuti oleh semua pelajar-pelajar yang lain. “Waalaikumsalam”, jawab guruku penuh berhemah. Idola aku yang langsung tidak pernah lekang dengan senyuman. Ketenangan dan keserian yang terpancar dari wajahnya langsung menyembunyikan keteguhan ilmunya yang penuh di dada. Majlis seperti biasa dimulakan dengan doa asmaul husna yang diikuti oleh sedikit tazkirah dari guruku. Kemudian barulah jeritan dan tempikan suara pelajar silat menghiasi suasana padang silat. Bersilih ganti dengan suara guruku memberi panduan dan arahan kepada anak-anak muridnya. Menenggelamkan suara-suara cengkerik jantan yang cuba menarik perhatian si betina.
***************
Latihan berlangsung selama dua jam tanpa henti. Wajah-wajah kelesuan dan kebosanan mula terpancar pada wajah pelajar-pelajar silat yang lain. Namun, aku masih mampu bertahan. Tanpa rasa jemu aku mencurahkan seluruh tenaga dan kesungguhan ku dalam latihan silat tanpa mempedulikan wajah masam mencuka yang mula terbit dari setiap wajah pelajar-pelajar lain. Sememangnya, apa sahaja perkara yang berkaitan dengan silat, aku adalah orang yang paling bersungguh-sungguh. Tidak kira apapun aktiviti yang berkaitan dengan persatuan silat ku, nama ku adalah nama yang pertama tercatat di atas kertas. Tidak hairanlah tok guru ku lebih menyenangiku dari pelajar-pelajarnya yang lain. Malahan, tok guru selalu melayan aku melebihi pelajar yang lain berkat dedikasiku terhadap persatuan silat. “Baiklah, rehat sepuluh minit” Tiba-tiba tok guru memberi arahan. Lirikan senyuman di wajah tok guru menyedapkan mata sesiapa sahaja yang melihatnya. “Baiklah tok” Serentak kedengaran jawapan yang keluar dari bibir-bibir pelajar lain. Wajah yang tadinya masam bertukar menjadi ceria. “Akmal! Ke mari sekejap. Ada tok mauk bincang sesuatu” Aku dengan pantas dan bergegas kearah tok guru. “Tok panggil Akmal yang lagi satu la..” Kata tok guruku. Serta merta perasaan bangga yang muncul disentap dan digantikan pula dengan perasaan malu, apatah lagi kedengaran hilai tawa yang sinis dari para pelajar yang lain.
Dengan langkah yang sedikit goyah, lantas aku berpaling dan menjerit memanggil adik dengan kasar. “Oi..Adik! tuk guru pangil tu. Tuli ka?” Adik yang sedang rancak berbual segera menyahut lantas bergerak menuju kearah tok guru. ‘Akmal’ nama yang sedap dan merdu didengar yang memebawa maksud ‘kesempurnaan’. Satu lagi persamaan di antara aku dengan adik yang menjadi tatu penanda dan tidak boleh diubah. Perkongsian telah menjadi takdir kami sejak lahir lagi. Namun perkongsian ini masih belum mampu menyatukan hubungan kami yang renggang sejak skian lama. Kadang-kadang mengelirukan bagi dua beradik yang sentiasa bersaing antara satu sama lain.
***************
Hilai tawa pelajar-pelajar lain kini beransur reda dan masing-masing kembali rancak bercerita. Seringkali mereka memanggil aku untuk menyertai mereka, tetapi gelengan ku yang perlahan dan wajah ku yang menunjukan rasa kurang minat sering mengecewakan mereka. “Ha..ha..ha..” Ketawa adik ku tiba-tiba menarik perhatian ku. Tok guru turut ikut sama tertawa. Kerancakan mereka bercerita sambil diselangi dengan hilai tawa tanpa disedari telah membangkitkan rasa cemburu dan membakar api kemarahan ku yang terpendam selama ini. Aku langsung meninggalkan kelompok-kelompok manusia yang leka dengan dunia sendiri, sedangkan aku bagaikan tidak dapat menahan api kemarahan ku. Langkah demi langkah yang ku atur membawa aku ke tebing sungai yang tidak jauh dari padang silat.
Ketenangan dan kejernihan air sungai yang memantulkan sinaran bulan yang cantik, seketika sinaran cantik itu terganggu apabila daun yang ditiup bayu berguguran jatuh ke sungai dan menciptakan sesuatu pemandangan yang indah. Aku sempat bersyukur pada yang Maha Esa. Api kemarahanku beransur sejuk. Aku termenung seketika melihat kejadian-kejadian indah ciptaan Rabbul Alamin sehingga tanpa ku sedari mengimbau kembali memori enam tahun lalu ketika aku masih berada di darjah empat. Hari di mana keputusan Penilaian Tahap Satu diumumkan. “Yeaaaah..” Aku menjerit sambil melompat keriangan. Serta merta aku mendapatkan adik dan ibu yang saling berpelukan sambil tersenyum riang. “Adik! Adik dapat satu kelas sama abang la..” Adik yang masih kebingungan hanya mengangguk sambil tersenyum pada ku. “Bu! Rino bawa adik jalan-jalan dulu ya..” Lantas aku menarik tangan adik yang masih memeluk ibu ku. Dengan rasa bangga kerana adik ku adalah pelajar terbaik seluruh Lahad Datu, aku membawa adik menjelajah seisi sekolah, memperkenalkan adik kepada rakan-rakanku dan guru-guruku yang tersayang. Tidak lekang senyuman di bibirku bila menceritakan tentang kejayaan adikku.
Tanpa aku sedari, rasa bangga dan kegembiraan yang aku nikmati ini bakal merubah coretan hidupku. Hari-hari yang ku lalui selepas itu nyata berubah sama sekali. Segala perhatian guru-guru terhadap diriku mula beralih arah. Tumpuan yang selama ni menjadi milikku hilang begitu sahaja. Semuanya kini tertumpu kepada adikku. Aku mula terasa tersisih dan akhirnya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam diriku. Hubungan aku dengan adik yang dulunya terjalin erat mula longgar disebabkan sikap persaingan antara kami. Adik bukan sahaja mendapat gelaran pelajar terbaik malah adik menjadi pelajar contoh. Nyata adik lebih baik dalam segala aspek dari aku. Sejak itu, Setiap hari yang ku lalui membuatkan hati terbakar.
***************
“Berkumpul!” suara guruku yang di bawa bayu malam mengejutkan aku dari lamunan. Tanpa berlengah, aku bergegas semula ke padang silat. Kumpulan pelajar yang tadinya rancak bercerita kini sudah membentuk satu barisan panjang. Aku menyisip masuk ke dalam barisan. “Akmal! Ke hadapan sekarang!” suara tok guru memberi arahan sambil matanya ditujukan ke arahku. “Akmal minta maaf tok” Setelah menyedari kesilapan ku. “ Oh..tak apa-apa, tok faham juga” Katanya diiringi dengan senyuman yang membuatkan aku merasa lega. “Baiklah, sekarang kamu aturkan pelajar berpasangan untuk sedikit latihan tempur sebelum kita bersurai” Tugas yang diarahkan lantas aku laksanakan. Setiap pelajar aku pasangkan dengan orang di sebelahnya kecuali adik ku. Sengaja aku simpan adik sebagai pasangan ku nanti. Pelajar lain sudahpun bersedia dengan pasangan masing-masing. Adik ku masih tercegat. Suasana sepi menyelubungi padang silat. Wajah-wajah pelajar yang tadinya tersenyum berubah menjadi tegang sambil memasang kuda-kuda yang kukuh sebagai persediaan sambil menunggu arahan dari tok guru.
***************
“Mula!” Suara tok guru tiba-tiba memecahkan kesunyian yang menyelubungi padang silat yang lantas disusuli dengan jeritan dan tempikan para pelajar yang mula bertempur antara satu sama lain. Tanpa berlengah, aku terus menyerang adik yang kelihatan tidak bersedia. Dimulakan dengan satu tendangan yang kemudiannya disusuli dengan tumbukan yang bertalu-talu, menyebabkan adik langsung tidak mempunyai ruang untuk membalas serangan ku. Segala pengalaman ku selama empat tahun dalam seni persilatan serta didorong oleh rasa amarah ku langsung menyebabkan dia berundur setapak demi setapak. Adik mengangkat tangan sebagai tanda menyerah kalah kerana tidak dapat bertahan dengan serangan ku. Aku langsung tidak mempedulikan isyarat tangannya, satu tumbukan sememangnya dipenuhi dengan amarah dan dendam hinggap di pipinya. Adik hilang keseimbangan badan lantas terundur beberapa tapak ke belakang. Senyumannya mati, wajahnya kini sudah hilang serinya. Terpancar riak kemarahan di wajahnya, menandakan pertempuran yang akan bakal berlaku selepas ini pasti akan lebih dahsyat.
***************
Melihat adikku yang masih berdiri dengan bunga silat yang masih teguh membuatkan sifat kejantananku semakin meluap-luap. Lantas seranganku kali ini ku mulai dengan menyerang dari arah yang kelihatan tidak seimbang. Tamparan kuat yang ku sertakan dengan gaya pengunci cuba ku berikan kepada adikku. Namun kali ini reaksinya berbeza, seranganku ditahan dan dibalas kembali dengan satu tumbukan yang menyebabkan aku melompat kebelakang. Masih terkejut dengan tindakan balasnya yang pantas, kini situasi mula berubah. Aku mula diserang oleh adikku dengan bertubi-tubi.
Serangan hebat dari adikku menyebabkan aku terpaksa berundur ke belakang. Kali ini aku semakin sukar untuk membalas tumbukan adikku. Akhirnya aku rebah ke bumi. Namun aku tidak mengaku kalah. Aku bingkas bangun dan tekad akan melakukan “Forbidden Technique”, ini sajalah cara supaya aku dapat menumpaskan adik walaupun cara ini dilarang keras oleh tok guruku.
Adikku semakin lemah, aku puas melihat darah yang mengalir dari mulut dan hidungnya. Aku tersenyum melihat musuhku bagaikan nyawa di hujung tanduk. “Akmal!”. Aku tersentak lalu berpaling dan tiba-tiba aku terasa tubuhku melayang jatuh ke bumi. Pipiku terasa kebas dan bibirku luka mengalirkan cecair merah. “Sakitnya kena tamparan Tok Guru”, rintih hatiku.
***************
Aku mendongak keatas, terasa ada air jernih yang mengalir di pipiku. Wajah Tok Guru yang marah, menambahkan rasa marah di hati. Aku bingkas bangun dan melarikan diriku dari sana. Ku lihat adikku terbaring diatas tanah dan aku sempat menendang kakinya. Tanpa menoleh kebelakang, aku berlari dengan rasa kecewa menuju ke tebing sungai. Aku duduk termenung mengenangkan saat-saat ketika aku masih rapat dengan adik yang aku benci sekarang. Tiba-tiba terbit rasa kesal dalam diriku tetapi disebabkan ego yang tinggi aku tidak memperdulikan rasa bersalah itu. Namun kini perasaan serba salah itu menghantui diriku. Apabila hatiku mulai sejuk, aku mula meneruskan langkahku untuk pulang di rumah. Sesudah sampai di rumah, aku dimaki hamun oleh kedua orang tua ku. Aku hanya membatukan diriku. Ku lihat adik duduk mendiamkan diri sejak dari tadi dan ada kesan lebam dibibirnya. “Nah! Padan muka kau”, aku mengejek adikku di dalam hati.
***************
Pada ke esokan harinya di sekolah, heboh tentang apa yang terjadi diantara aku dan adikku. Lagi menyakitkan hatiku semua menyokong adikku dan mempersalahkan diriku. Tapi tidakkah mereka tahu betapa kejamnya adikku yang telah merampas kebahagianku selama ini, walaupun selama ini aku hanya membiarkannya sahaja. Ada sahaja mereka bertanya pada aku tentang kejadian semalam dengan suara-suara yang sumbang. “Oi! Jahat juga kau ni Akmal.” Tetapi aku tidak akan mempedulikan semua itu.
“Kringgg….”Loceng balik telah berbunyi. Keluar sahaja dari kelas aku mendengar adikku memanggil-manggil namaku. “Apa lagi budak ni mau”, detik hatiku. Aku tidak mempedulikannya dan terus berjalan menuju ke destinasi yang ingin ku tujui, namun sempat juga aku memberinya pandangan maut ku. Tetapi adikku tidak berputus asa. Dia mengekori langkahku. Semakin pantas aku berjalan, semakin pantas juga dia berjalan untuk beriringan dengan ku.
“Abang, takkan besar-besar pun mau merajuk.” Aku bertambah sakit hati mendengar kata-katanya. “ABANG!!!!” jerit adikku. Aku terkejut mendengar jeritannya yang kuat. Aku menoleh melihat adikku, tetapi dengan sepantas kilatnya dia menolak aku. Aku rebah ke bumi, dengan itu juga aku melihat sebuah lori lalu. “Adik!” detik hati kecilku. Aku terkaku sebentar. Ku lihat kaki adikku hancur digilis lori tadi. Darahnya mengalir dengan banyaknya. “Ya Allah! Adik!”, aku menjerit dan terus berlari mendapatkan adik. Ada titisan-titisan hangat yang mengalir dari mataku. Aku tidak tahu hendak melakukan apa-apa pun. Aku risau melihat adikku. Walaupun aku membencinya tetapi dia tetap adik aku yang satu. Tiada seorang pun yang dapat menggantikannya. Aku menangis semahu-mahunya, dengan penuh penyesalan. Hilang keegoanku selama ini. Bayu yang bertiup diwaktu ini membawa pergi perasaan dendam dan benci ku kepada adik.
Aku memangku kepala adik dan ketika itu aku melihat kereta Pengetua sekolah ku. Aku menahannya untuk meminta pertolongan.
***************
Di hospital, doktor berusaha untuk menyelamatkan adikku. Hampir empat jam lamanya adikku berada di bilik pembedahan. Ayah dan ibu turut berada bersama setelah aku membuat panggilan dari hospital. Ku lihat wajah risau yang terpamer dari air muka kedua orang tua ku, membuatkan aku lagi rasa bersalah. Ibu ku menangis teresak-esak sehinggakan ayah aku tidak mampu memujuknya lagi. “ Ya Tuhanku, apa yang telah aku lakukan. Kenapa tidak aku sahaja yang kena langgar.” Rintih hatiku dengan hibanya.
Ku lihat doktor keluar dari bilik pembedahan. Aku, ayah dan ibu terus meluru mendapatkan doktor untuk mengetahui keadaan adik ketika ini. “Syukur kepada Tuhan.” Ucap kami serentak kerana pembedahan berjaya dilakukan dan adikku selamat.
**************
Kami masuk ke wad untuk melihat adikku. Aku meluru mendapatkan adikku dan lantas memeluknya yang sedang terbaring lesu diatas katil. Dia hanya tersenyum lemah melihatku. Ibuku berulang kali mencium pipi adikku kerana terlalu gembira dan bersyukur adikku selamat. Begitu juga dengan ayahku yang sering mengucapkan lafaz syukur dan terima kasih kepada Tuhan.
***************
Kini, adikku tidak boleh bergerak bebas lagi. Kakinya yang telah dipotong akibat dari kemalangan tersebut menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak sepanjang hidupnya. Aku akan menjadi peneman setia adikku. Walaupun kini kami telah bergelar mahasiswa dan berada dalam bidang yang berlainan, ia takkan menghalang aku untuk aku terus setia bersamanya.
Aku sentiasa mengeluh dengan rasa penyesalan apabila mengenangkan kisah lalu. “Adik, maafkanlah abang. Abang berjanji akan menjaga dan melindungi adik selagi hayat dikandung badan. Maafkan abang, adik.” Adikku tersenyum mendengar kata-kataku. Terpancar sinar bahagia diwajah adikku. Selepas melafazkannya hatiku berasa lega dan tenang.
***************
PENULIS :-
1) AKMAL
2) JACYNTA
3) EZZAH
4) SUHAILA


huahuahua... this is for my Creative writing class... the short story obviously not written by yours truly....
**Those who doesn't understand malay, plz refer to a malay dictionary to help ya'll**

2 comments:

MsCie said...

your longest text-only entry so far and my God...banyaknya perkataan....gives me headache...anyway,create a FaceBook account and join the Sabahan Blogger group.

SuicideCandy said...

okai... nanti pg tempat ko...

AddThis